Saturday, September 05, 2009

Hipokrasi kepala lembu: Hishammuddin harus letak jawatan

Jikalau anda berarak dengan kepala lembu yang dipancung, kemudian meminta pertolongan daripada seorang menteri UMNO, atau Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein, beliau semestinya mengendalikannya dengan sambil lalu.

Kemungkinan juga anda mengangkat kepala lembut menurut skrip yang tertulis atau mengikut arahan. Kemudian menteri tampil ke depan untuk melindungi anda. Beliau memperoleh manfaat dari sandiwara ini.

Politikus UMNO sebagai pemerintah tidak faham bahawa taktik baru mereka ini tidak disenangi rakyat.

Hishammuddin bertindak secara luar biasa dan tidak bersesuaian apabila menyatakan bahawa mereka yang berarak pada Jumaat lepas tidak harus dipersalahkan. Beliau tidak harus mempercayai sewenang-wenangnya apa yang dikatakan peserta demonstrasi bahawa mereka tidak tahu dari mana datangnya kepala lembu itu.

Sebanyak 50 orang muslim memijak dan meludah pada kepala lembu di depan bangunan kerajaan negeri Selangor pada Jumaat yang lalu, sebagai protes terhadap keputusan kerajaan untuk memindahkan sebuah kuil yang bersejarah 150 tahun ke kawasan komuniti mereka. Lembu adalah binatang suci dalam agama Hindu.

Menteri ini tidak memberi penjelasan berkenaan keganasan terhadap mayat binatang. "Misteri Kepala Lembu" mungkin boleh dijadikan judul buku cerita seram. Walau bagaimanapun, peserta demonstrasi dan Hishammuddin Hussein kelihatan seolah-olah tolol.

Kami tidak membantah demonstrasi. Pakatan Rakyat membela hak bersuara dan berkumpul yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi apabila peserta demonstrasi mengugut bahawa seandainya tuntutan mereka tidak diterima, pemindahan kuil Hindu ini akan berakhir dengan pertumpahan darah. Kenyataan sedemikian mungkin mengakibatkan konflik kaum. Pertemuan Hishammuddin dengan peserta demonstrasi menunjukkan bahawa beliau menyokong golongan yang berfahaman sempit dalam agama, juga menunjukkan bahawa Barisan Nasional kini dalam perancangan untuk merampas kuasa kerajaan negeri Selangor. Ini membongkarkan motif politik sandiwara yang merbahaya ini.

Naib Presiden UMNO ini berkata polis tidak menghalang perarakan kepala lembu ini kerana bilangan polis terlalu kecil. Tetapi candle light vigil untuk mengingati Teoh Beng Hock di padang Ampang Jaya pada tahun lepas, telah disuraikan dengan kasar. Polis telah mengerah sebanyak ratusan tenaga FRU untuk menangkap 20 orang aktivis sosial dan pemimpin pembangkang.

Hishammuddin Hussein mendakwa peserta demonstrasi merasakan diri mereka dianiaya, dan beliau berkata tidak mahu mengambil tindakan terhadap mereka. Jelas, Hishammuddin telah mengambil alih tugas Peguam Negara kerana kuasa pendakwaan terletak pada tangan Peguam Negara, dan bukan Hishammuddin Hussein.

Hujah sedemikian jelas menunjukkan bahawa peserta demonstrasi adalah samseng upahan UMNO. Mereka diperalatkan untuk mencungkil sentimen perkauman, dan mengalih pandangan daripada penyelewengan kerajaan.

Rasuah masih berleluasa, ekonomi jatuh merudum, kematian tahanan dalam lokap melonjak, polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) menyasarkan wakil rakyat PR, media dikawal ketat, blogger ditahan di bawah akta preventive, kadar jenayah meningkat, kaum minoriti terus dipinggirkan, malah skandal seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) diselindungi.
Walaupun demikian, UMNO masih ghairah dengan menghasut sentimen perkauman dan agama, cuba menakut-nakutkan rakyat untuk mengembalikan sokongan pengundi Melayu.

Hishammuddin Hussein tidak insaf daripada pengajaran tsunami 8 Mac 2008. Beliau telah digelar "kerismuddin" kerana menjulang keris dalam perhimpunan UMNO. Beliau masih dengan keangkuhannya untuk memberi amaran agar bukan Melayu jangan menghasut sentimen perkauman.

Ironinya, Hishammuddin Hussein adalah antara menteri yang menyertai majlis sambutan hari kemerdekaan dan menyahut slogan "1Malaysia". Kempen "1Malaysia" PM Najib supaya rakyat bersatu padu dan menjamin kesaksamaan antara kaum telah terburai dalam hati rakyat.
Walaupun kami bersetuju bahawa hipokrasi adalah persamaan politikus UMNO, namun Hishammuddin Hussein adalah Menteri Dalam Negeri yang gagal kerana beliau tidak dapat mengawal keamanan negara.

Beliau bukan sahaja tidak mengambil tindakan terhadap peserta demonstrasi, dan menghalang konflik kaum yang mungkin berlaku, sebaliknya memihak samseng UMNO dan mengabaikan sensitiviti penganut agama Hindu dan undang-undang negara.

Oleh itu, saya menyeru sekeras-kerasnya agar Hishammuddin Hussein meletak jawatan dengan segera. Saya menggesa agar peguam negara mendakwa peserta demonstrasi dan mengkaji sama ada tindakan Hishammuddin berjumpa dengan peserta demonstrasi semasa siasatan dijalankan itu melanggar undang-undang.






*Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Charles Santiago, ahli Parlimen Klang. Diterjemah dari versi bahasa Cinanya.

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.